Selasa, 11 November 2008

Apa itu virus PC

Semenjak virus PC pertama ditemui pada 1986, jumlah keseluruhan virus berkembang pesat sehingga tidak terkira. Pelbagai jenis virus telah dicipta dengan pelbagai matlamat penyebaran.

Ramai yang telah tahu bahawa virus komputer merupakan sebahagian daripada program jahat yang boleh mempengaruhi operasi biasa sistem komputer. Virus komputer juga adalah program seperti program yang kita gunakan sehari-hari, seperti Microsoft Word dan lain-lain. Cuma, program lain digunakan untuk kebaikan, virus adalah sebaliknya.

Mengapa kita memanggil kod jahat ini virus komputer?

Saintis komputer telah menemui beberapa persamaan antara virus biologi (seperti "H5N1") dan virus komputer. Pertama sekali, kedua-duanya memerlukan perumah sebagai tempat tinggal. Dalam kes virus komputer, perumah biasanya adalah fail atau cakera yang telah dijangkiti. Kedua, kedua-duanya mampu mereplika (membuat salinan) sendiri dari satu perumah ke perumah yang lain.

Akhir sekali, kedua-duanya boleh mengakibatkan kerosakan pada perumah tersebut. Namun sekurang-kurang terdapat satu perbezaan: "virus komputer dicipta oleh manusia sementara virus biologi tidak begitu."

Apabila virus menyerang, kesannya bermula daripada paparan skrin yang menyakitkan hati hinggalah kerosakan data yang teruk dan mengakibatkan kemusnahan yang dahsyat.

Untuk memburukkan lagi keadaan, virus bernama "virus makro" menyertai dunia komputer pada 1995. Keupayaannya menjangkiti fail dokumen telah menidakkan pendapat yang mengatakan "virus hanya boleh menjejaskan fail program." Selain itu, kebiasaan bertukar-tukar dokumen antara pengguna komputer telah menyemarakkan lagi penyebaran virus makro.

Namun begitu, dengan langkah balas yang bertepatan, kita masih dapat mencegah atau mengurangkan kehilangan dan kerugian akibat jangkitan komputer.


Sumber : http://www.mypendidik.net/

Apa itu Komputer

Apa itu komputer


Komputer merupakan satu mesin yang menerima data(input) dan kemudiannya memprosesnya menjadi maklumat berguna dan disimpan dalam storan sekunder untuk kegunaan masa hadapan atau dikeluarkan melalui printer dll(output)

Komputer sebenarnya berasal dari bahasa latin computare yang bermakna menghitung kerana luasnya bidang garapan ilmu komputer, para pakar dan peneliti sedikit berbeza dalam mendefinasikan termininologi komputer

Kelas-kelas komputer:

# Komputer Mikro (Micro Computer)
# Komputer Mini (Mini Computer)
# Kerangka Utama (Mainframe)
# Komputer Super (Super Computer)

Kenali sejarah komputer...

Sejarah bermulanya perkembangan dunia komputer apabila proses pengiraan itu wujud dalam aktiviti seharian manusia dari pengunaan jari manusia sehinggalah kepada alat mengira,maka terciptalah alat yang mampu melaksanakan asas pengiraan iaitu tambah, tolak dan darab. Sejarah perkembangan komputer sebenarnya telah lama bermula sejak tahun 1940 lagi dan ianya terbahagi kepada empat generasi komputer:

Generasi Pertama-Tub hampagas ( 1942 - 1958 )

1. Menggunakan teknologi tiub hampagas (vakum).
2. Berupaya memproses beberapa ribu arahan sesaat,lebih pantas daripada pergerakan alat mekanik.
3. Berupaya menyimpan 10,000 - 20,000 aksara.
4. Menggunakan ingatan teras magnet. Teras magnet adalah gelang-gelang logam yang amat kecil dan boleh memberikan kuasa magnet melalui satu dari dua arah.


Generasi Kedua-Transistor (1959 - 1964)

1. Menggunakan transistor menggantikan tiub hampa gas.
2. Dicipta oleh tiga saintis di Bell Laboratories, iaitu J. Bardeen, H. W. Brittain dan W. Shockley.
3. Transistor adalah sebuah alat elektronik yang kecil di mana fungsinya adalah untuk memindahkan isyarat-isyarat elektrik melalui perintang.
4. Keserasian terhad. Atur cara yang ditulis untuk satu komputer perlu diubah untuk dilaksanakan pada komputer lain.
5. Menggunakan hanya pita untuk storan yang boleh memproses secara jujukan sahaja.
6. Menggunakan bahasa aras rendah iaitu bahasa simbolik.
7. Lebih kecil, ringan, murah tahan lama dan mudah digunakan.
8. Bahasa pengaturcaraan peringkat tinggi atau bahasa perhimpunan (assembly language) seperti FORTRAN dan COBOL.


Generasi Ketiga-Litar Elektrik (1964 - 1970)

1. Menggunakan teknologi litar bersepadu yang terdiri daripada beribu-ribu transistor yang diletakkan pada kepingan silikon.
2. Atur cara lebih serasi.
3. Bermulanya konsep multi pengaturcaraan. Beberapa pengguna berkongsi mesin. Istilah baru perkongsian masa.
4. Bermulanya pemprosesan rawak dengan penggunaan cakera magnet.
5. Lebih kuat, utuh dan padat.
6. Bahasa pengaturcaraan dihasilkan seperti BASIC dan Pascal.


Generasi Keempat (1971 -1999)

1. Penggunaan litar bersepadu berskala besar. Istilah yang digunakan ialah Penyepaduan Skala-Besar (Large-Scale Intergration ataupun LSI).
2. Penggunaan mikro pemprosesan pada satu serpihan.
3. Dengan pengenalan storan maya, atur cara yang bersaiz beberapa kali saiz ingatan mesin boleh dilaksanakan.
4. Pengenalan kepada cakera padat ingatan baca sahaja (Compact Disc Read Only Memory
( CD ROM )).
5. Ingatan utama komputer menjadi lebih cekap, pantas dan besar.


Generasi Kelima ( 2000 sehingga kini)

1. Lebih canggih, lebih murah, lebih pantas dan lebih hebat daripada yang sedia ada dan kemampuan 'melihat', 'mendengar', 'bercakap', dan 'berfikir' seperti manusia-kepintaran buatan.
2. Memiliki kecerdikan buatan iaitu setakat mana manusia membuat komputer itu cerdik.
3. Melaksanakan tugas secara selari berbeza dengan caranya sekarang dan membolehkan tugas diselesaikan serentak.
4. Lebih cepat dan lebih kuasa untuk membuat penaakulan, belajar dan membuat kesimpulan.


Sejarah Internet

Sekitar tahun 1960-an,penyelidik-penyelidik mula mencari jalan bagaimana untuk menghubungkan komputer-komputer yang bertaburan di seluruh Amerika Syarikat.Satu pendekatan yang dicadangkan ialah dengan menggunakan perhubungan melalui telefon.Projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Advanced Research Project Agency(ARPA),Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Pendekatan tersebut menampakkan kejayaan,maka,era rangkaian komputer pun bermula.Kemudiannya ia dikenali sebagai ARPAnet.Rangkaian ini membolehkan berlakunya perkongsian data dan maklumat dengan pantas dan lebih senang.Terdapat banyak lagi projek rangkaian lain yang berfungsi dengan menggunakan sistem tersendiri seperti NSF iaitu National Science Foundation,MILNET dan sebagainya.Perkembangan sistem ini berubah begitu cepat dan pantas.

Pada tahun 1970-an,ARPA membina peraturan atau protokol bagi tujuan penghantaran data antara rangkaian komputer yang berbeza.Protokol internet membolehkan semua komputer seluruh dunia dihubungkan antara satu sama lain.

Pada tahun 1980-an,hubungan ini yang kemudiannya dikenali sebagai internet berkembang dengan begitu pesat dan kini internet telah pun menjadi sebahagian budaya serta aktiviti harian penduduk seluruh dunia.



Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT)

Teknologi maklumat mewakili komputer masa kini yang mampu memasukkan, memaparkan dan menghasilkan maklumat yang berguna kepada penggunanya dengan cepat,tepat dan terkini terutamanya dengan kewujudan rangkaian internet seluruh dunia. Komputer terdahulu tidak mampu menjadi betul-betul teknologi maklumat kerana tidak mempunyai teknologi capaian maklumat seperti sekarang.Manakala teknologi komunikasi pula merangkumi teknologi dalam perhubungan berwayar dan tanpa wayar untuk memudahkan komunikasi berlaku sehingga wujud komunikasi mudah dan pantas seluruh dunia.maka,ICT merangkumi kejuruteraan perisian dan sistem(elektronik),multimedia,kepintaran buatan,rangkaian,sistem maklumat pengurusan dan sebagainya. yang penting dalam urusan harian masa kini.Bidang ICT mampu memberi peluang pekerjaan yang pelbagai kepada yang menceburinya,anda bukan sahaja boleh menjadi jurutera komputer tapi seorang ahli peniagaan atau jika anda memiliki kemahiran dalam multimedia,anda juga boleh menjadi perekabentuk multimedia.Itulah kelebihan bidang ICT yang mampu mempelbagaikan lagi rezeki kepada yang mereka yang menceburinya,asalkan anda memiliki kemahirannya.Jadi,isu pengganguran tidak timbul,jika anda memenuhi syaratnya serta pandai menggunakan peluang yang anda.Jika anda ingin menceburi bidang ini terutamanya dalam peniagaan,anda di nasihat menceburinya dalam kejuruteraan(pembuatan,elektronik dan perisian) dan multimedia,menjanjikan peluang masa kini dan hadapan.

Sumber : http://jsm.hukm.ukm.my/

Dasar : Bersih , Cekap dan Amanah

Latarbelakang

Pada pertengahan April 1982, Y.A.B. Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan kempen Bersih, Cekap dan Amanah sebagai satu dasar yang menjadi amalan kepada semua di negara ini. Konsep ini adalah selaras dan sebagai asas kepada Kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 19hb. Mac,1983.


Rasional

Pembangunan dan kejayaan sesebuah negara adalah bergantung besar kepada sikap yang positif serta bermoral tinggi pengurusan-pengurusan pekerjaan, pentadbiran dan rakyat secara keseluruhannya. Di atas hakikat ini kesedaran haruslah ditanamkan di jiwa pegawai-pegawai awam, pegawai-pegawai swasta, pekerja-pekerja dan rakyat supaya mereka memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing dan melaksanakannya dengan cekap dan berkesan, di samping mempunyai sikap bersih dan beramanah.

Perasaan dan tanggapan bahawa mereka bekerja semata-mata bagi memenuhi keperluan diri sendiri iaitu untuk mendapat upah atau ganjaran hendaklah dikikis tetapi sebaliknya semangat bekerja bagi faedah negara dan rakyat keseluruhannya hendaklah ditanamkan di jiwa semua.

Bersih, Cekap dan Amanah adalah satu framework yang diharapkan dapat mencapai tujuan tersebut.



Objektif

Objektif utama dasar ini adalah sebagaimana berikut:-

1. Bagi mengujudkan satu etika kerja dan sikap berkhidmat yang baru bagi rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada peningkat hasil (productivity) dan mutu kerja.


2. Untuk meningkatkan semangat atau motivasi pekerja seiring dengan Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan.


Secara khususnya sifat-sifat yang ingin diterapkan ke jiwa setiap golongan pekerja dan rakyat adalah seperti berikut:-


1. Bersih iaitu

a. Mempunyai moral yang tinggi, bertatatertib dan berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah.

b. Berkecuali iaitu tidak memihak ke mana-mana atau berat sebelah.

c. Tidak mementingkan diri sendiri.

d. Tidak khianat, hasad dan dengki.



2. Cekap iaitu

a. Berani dan cepat membuat keputusan.

b. Menghadapi krisis dengan tenang.

c. Bersikap tegas kepada prinsip.

d. Mempunyai produktiviti yang tinggi dan kualiti dalam kerja.

e. Mempunyai keyakinan diri.

f. Berpandangan jauh - proaktif dan bukan reaktif.

g. Berpengetahuan, berpengalaman dan mahir dalam bidang-bidang tertentu.



3. Amanah iaitu

a. Rela dan cuba menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa yang ditentukan dengan penuh gigih dan ikhlas bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

b. Mempunyai sifat luhur dan murni, jujur kepada diri sendiri, rakan dan organisasi.




Strategi Pelaksanaan

Dalam melaksanakan konsep ini Kerajaan telah mempraktikkannya sendiri terlebih dahulu dengan mengambil daya utama bagi membaiki perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh pentadbiran awamnya melalui langkah-langkah tertentu, di antaranya ialah:-

(i) Mengadakan Manual Prosedur Kerja (MPK) & Fail Meja (FM)

Kerajaan telah menyedari bahawa terdapat kelemahan dalam pentadbiran awamnya berpunca dari ketidakpastian pegawai dan kakitangan Kerajaan mengenai tugas dan kuasa untuk bertindak dan ujudnya pertindihan tugas dan tanggungjawab. Kerana ketidakpastian ini pegawai-pegawai tidak yakin untuk membuat keputusan, tetapi sebaliknya terpaksa merujukkan kepada pihak atasan atau kepada agensi lain. MPK dan FM akan menentukan sejelas-jelasnya cara sesuatu kerja harus dijalankan, siapa yang bertanggungjawab, siapa yang mempunyai kuasa, pihak yang harus dihubungi, apa peraturan dan undang-undang yang disemak dan langkah-langkah yang harus diambil.

Kesemua Jabatan Kerajaan telah diminta menyediakan MPK dan FM ini, dan diharapkan ini dapat melicinkan pentadbiran dan mempercepatkan tindakan.



(ii) Membaiki aspek pengurusan melalui teknik-teknik baru seperti mesyuarat dan kumpulan meningkat Mutu Kerja (QCC)

Dalam teknik ini pegawai-pegawai dan kakitangan awam di semua lapisan boleh memberi sumbangan fikiran dan tidak pasif iaitu menunggu arahan semata-mata. Di dalam mesyuarat-mesyuarat dan KMK ini idea-idea baru dan pandangan praktikal boleh disuarakan untuk membaiki kerja. Secara khususnya teknik baru ini memerlukan setiap penjawat awam mempunyai sikap 'innovative dan creative'.


(iii) Pengluasan khidmat pusat-pusat pembayaran bil setempat

Ini adalah bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai menyelesaikan urusan mereka dengan cepat dan menjimatkan masa tanpa mereka terpaksa pergi ke beberapa jabatan yang berasingan.


(iv) Pejabat Pelan Terbuka

Bagi mempastikan ruang pejabat digunakan secara optima, dan membolehkan pengawasan dijalankan dengan lebih sempurna.


(v) Kad perakam waktu

Ini bukan sahaja bagi menentukan semua pegawai mengikut waktu sebagai satu formaliti tetapi yang penting ialah mereka mengambil berat tentang waktu dan bertindak mengikut jadual.


(vi) Pengisytiharan harta oleh para anggota kabinet dan pegawai serta kakitangan Kerajaan.


(vii) Pemakaian 'name tag' oleh kakitangan Kerajaan.


(viii) Menegaskan dan mengukuhkan peranan Badan Pencegah Rasuah khasnya bagi menyiasat tuduhan-tuduhan rasuah.


(ix) Perkhidmatan Cemerlang bagi menghargai pegawai-pegawai yang didikasi dan telah memberikan sumbangan yang istimewa. Di dalamnya terkandung tujuh Teras Perkhidmatan yang menjadi asas bagi prestasi kelakuan dan kerja-kerja seharian kakitangan awam.


(x) Penghantaran pegawai-pegawai melanjutkan pelajaran bagi meluaskan pengetahuan dan pengalaman mereka agar dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna dan produktif apabila balik nanti.



Penutup

Bersih, Cekap dan Amanah adalah satu konsep yang murni. Sifat-sifat ini adalah asas yang penting di dalam mengujudkan satu masyarakat Malaysia yang benar-benar bertamaddun dan bermoral bersesuaian dengan Islam sebagai ugama rasmi. Dengan itu konsep ini tidak boleh dipisahkan dan hendaklah berjalan seiring dengan Dasar Penerapan Nilai-Nilai dan Konsep Kepimpinan Melalui Teladan serta Rukun Negara.

Jika dikaji keseluruhannya slogan BCA ini akan memberi kesan dalam pencapaian satu pentadbiran yang benar-benar berhasrat mencapai daya pengeluaran yang tinggi melalui etika dan nilai bekerja yang progresif selaras dengan kehendak-kehendak moral yang murni dan terpuji.


Sumber : Nota kursus PTK

Hakikat Jati Diri Dalam Pembinaan Ummah Hadhari

Arus deras materialisme, liberalisme, sekularisme dan hedonisme yang melanda umat Islam hari ini nampaknya telah menenggelamkan nilai-nilai makruf, akhlak mulia dan jati diri sebagai seorang Muslim. Inilah agaknya harga yang terpaksa kita bayar atas kealpaan kita menerima semahu-mahunya segala bentuk budaya, pemikiran dan hiburan yang saban hari disogokkan kepada kita.

Pemikir Islam ulung, Malik Bennabi (m.1973M) dalam bukunya Shurut al-Nahdhah (Syarat-syarat Kebangkitan) mengingatkan kita bahawa Barat dan musuh-musuh Islam tidak akan berasa bangga hanya kerana umat Islam memakai pakaian mereka; kot, tali leher, skirt, blaus atau denim (jeans).

Barat tidak akan berpuas hati jika umat Islam hanya fasih bertutur bahasa ibunda mereka. Tetapi Barat lebih bangga dan gembira jika umat Islam meninggalkan cara hidup Islam dan mengikuti budaya serta mengamalkan cara hidup mereka. Kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung kepada keupayaan fizikal dan kelengkapan material. Kekuatan hakiki umat Islam terbina daripada gabungan antara kemampuan fizikal dan kemantapan rohani. Sebagaimana kekuatan sebenar manusia yang terbina dari fizikal (jasad) dan spiritual (roh). Meskipun tubuh badan seseorang itu berdada bidang, berotot besar, kuat dan bertenaga seperti ahli gusti, tetapi apalah gunanya jika jasad yang kuat, bertenaga dan berotot itu tidak bernyawa (tiada roh)? Tentu jasad tersebut terdampar kaku (mati) dan hilang segala kehebatannya. Di sinilah yang ingin dijelaskan bahawa kesepaduan dan keseimbangan antara kehebatan jasmani dan rohani akan meninggikan nilai martabat dan harga diri seseorang itu.

Potensi dan kualiti insan dapat dikembangkan apabila kita sendiri mengenali asal usul penciptaan manusia dan elemen atau unsur yang membentuk makhluk yang bernama insan itu. Jika kita meminjam sudut pandangan al-Quran dalam usaha mengenali hakikat sebenar diri manusia, maka kita dikhabarkan dengan kenyataan melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, ditiupkan ke dalamnya roh (ciptaan)Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud." (Surah al-Hijr: 28-29) Firman-Nya lagi di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Dia yang mencipta manusia daripada tanah. Kemudian Dia yang menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalam tubuhnya roh ciptaan-Nya." (Surah al-Sajdah: 7-9) Berdasarkan kenyataan ayat-ayat al-Quran di atas, kita dapat memahami bahawa makhluk manusia itu dicipta oleh Allah Taala daripada dua unsur yang berbeza.

Pertama, pada satu peringkat manusia dicipta daripada sesuatu yang bersifat material (tanah), sama ada secara langsung daripada tanah sebagaimana yang terjadi kepada Nabi Adam a.s., atau diciptakan manusia itu daripada air mani sepertimana yang berlaku kepada keturunan Nabi Adam a.s. Aspek inilah yang kemudiannya diistilahkan sebagai tubuh badan, jasad atau jasmani.

Unsur kedua yang membentuk kejadian manusia bersifat non-material yang disebut sebagai roh atau disebut juga spiritual, jiwa atau rohani yang didatangkan langsung daripada Allah Taala. Kesepaduan daripada kedua-dua aspek material (tubuh badan) dan non-material (roh) inilah yang mewujudkan makhluk yang dipanggil manusia.

Imam al-Ghazzali (m. 505H/1111M) memperincikan persoalan non-material ini di dalam kitabnya Ihya' 'Ulumuddin bahawa aspek roh di dalam diri manusia itu terangkum sekaligus di dalam istilah-istilah yang bukan hanya tertumpu kepada istilah roh itu sendiri sahaja, tetapi juga al-qalb (kalbu), al-nafs (jiwa) dan al-'aql (akal fikiran). Al-Ghazzali menggunakan keempat-empat istilah ini iaitu roh, kalbu, jiwa dan akal seolah-olah boleh ditukar ganti antara satu sama lain, di mana keempat-empatnya merujuk kepada apa yang diungkapkan oleh al-Ghazzali sebagai bersifat "latifah rabbaniyyah ruhaniyyah", yang terdapat di dalam diri manusia dan merupakan jati diri, intipati atau hakikat sejati diri manusia.

Menurut al-Ghazzali lagi, aspek kerohanian yang istimewa inilah yang menyebabkan manusia ditaklifkan sebagai khalifah untuk melaksanakan syariat Allah di atas muka bumi ini. Pada prinsipnya, unsur non-material yang menghidupkan jasad manusia itu, di samping merupakan hakikat jati diri hakiki manusia, adalah juga berfungsi memberikan ciri kehebatan serta keunggulan manusia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain sama ada malaikat, jin, syaitan, tumbuh-tumbuhan atau binatang.

Dalam hubungan ini, ada baiknya diketengahkan di sini kisah simbolis yang terdapat dalam Sastera Arab-Islam yang memaparkan cerita tentang manusia dibawa ke hadapan mahkamah pengadilan oleh para haiwan. Haiwan-haiwan ini tidak rela lagi manusia memperalatkan dan mengeksploitasi mereka untuk dijadikan alat tunggangan, membajak sawah ladang, diburu dan diternak untuk dijadikan bahan makanan ataupun mengambil bulu mereka untuk dibuat pakaian.

Pada pandangan para haiwan tersebut, manusia tidak mempunyai apa-apa alasan yang wajar untuk diberikan keistimewaan sedemikian. Apabila manusia mengemukakan alasan-alasan serta hujah untuk membuktikan kelebihan-kelebihan mereka berbanding dengan haiwan, maka semua alasan dan hujah tersebut dipatahkan dengan mudahnya oleh para haiwan, baik alasan itu yang berhubung dengan keupayaan manusia terbang di udara, berenang atau menyelam di dalam air, daya tenaga, kekuatan dan kegagahan manusia mengangkat beban berat dan sebagainya.

Semua kebolehan itu dimiliki juga oleh haiwan, malah memang pada asalnya lagi mereka dijadikan dengan memiliki kebolehan-kebolehan tersebut. Apabila manusia mendapati dirinya sudah tidak mempunyai apa-apa alasan lagi, lalu dia teringat kepada keupayaan serta potensi akalnya yang sangat hebat dan tinggi tarafnya. Tatkala manusia menyuarakan potensi akal fikiran sebagai hujah, maka para haiwan tiada lagi alasan untuk menentang dan menolak ketuanan manusia ke atas mereka (haiwan). Kisah simbolis di atas memperlihatkan keunggulan makhluk manusia berbanding haiwan adalah difokuskan kepada aspek non-material yang dimiliki oleh manusia iaitu akal fikiran atau minda.

Sememangnya kalau dilihat dari aspek material (fizikal) dirinya, manusia tidak ada apa-apa keistimewaan, malahan amat lemah sekali. Kita lihat jika kuda melahirkan anak, maka dalam masa dua atau tiga hari sahaja anak kuda tersebut boleh berdiri, kemudian berjalan dan seterusnya berlari. Hanya dalam masa beberapa hari. Hal keadaan ini berbeza dengan anak manusia (bayi) yang mengambil masa berbulan-bulan malah sehingga setahun untuk berjalan dengan baik.

Gambarkan pula sekiranya manusia disengat tebuan, dia sudah tidak boleh melelapkan mata. Kemudian kalau dilihat pula keindahan diri luarannya, maka keindahan itu hanya setakat kulitnya yang luar sahaja, sedangkan di bawah kulit itu adalah amat jelek sekali. Badan itu pula kalau tidak selalu dibersihkan akan mengeluarkan bau yang busuk dan amat tidak menyenangkan. Justeru, berdasarkan huraian-huraian tersebut ternyatalah bahawa kehebatan dan keunggulan manusia itu adalah tertumpu kepada aspek non-material yang dikenali sebagai rohani atau spiritual.

Aspek rohani inilah sebenarnya yang menjana diri manusia menjadi cemerlang dan hebat meskipun tubuh badan mereka cacat seperti buta, pekak, bisu, tiada kaki atau tangan dan sebagainya.

Oleh sebab itu, janganlah kita pelik apabila melihat orang yang cacat tetapi mencapai keputusan yang paling cemerlang dalam sesuatu peperiksaan atau mampu melakukan perkara yang luar biasa. Ini kerana mereka digerakkan oleh tenaga jati diri (rohani) mereka yang tidak cacat walaupun anggota badan mereka cacat. Memetik tulisan Dr. Muhammad al-Bahi (Islam Dilitupi Awan Mendung, 1979: 16-17), beliau menyatakan bahawa "kerohanian adalah intisari manusia dan ciri-ciri peribadinya". Kerohanian bukan sesuatu yang ditampal pada diri manusia atau yang terasing bagi manusia, kerana apabila kerohanian itu menjadi intisari manusia, maka kerohanian merupakan pusat hidup manusia dan pusat segala kegiatannya.

Justeru itu, dalam konteks ini wajarlah difahami secara tepat bahawa aspek material atau jasad (fizikal) manusia itu dijadikan hanya sebagai tunggangan kepada roh, bermaksud bahawa tubuh badan itu dijadikan untuk kepentingan roh dan bukan sebaliknya. Apabila persoalan jati diri ini dikaitkan dengan umat Islam, maka perlu kita sedari, tanpa kekuatan rohani yang ampuh umat Islam hanya maju dengan bangunan-bangunan tinggi atau binaan-binaan yang gah dan hebat tetapi hakikatnya didiami oleh insan-insan yang mati hati, muflis akhlak, bankrap jiwa serta pudar nilai keinsanannya.

Umat Islam perlu segera menyedari bahawa keutuhan rohani dan keunggulan jati diri sebagai Muslim hakiki yang diintegrasikan dengan kekuatan fizikal akan berpotensi menjana ummah hadhari yang berkualiti, dirahmati dan dihormati.

sumber: http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=1323

TONGGAK DUA BELAS

ELEMEN TONGGAK DUA BELAS


(i) Menghargai Masa
(ii) Ketekunan Membawa Kejayaan
(iii) Keseronokan Bekerja
(iv) Kemuliaan Kesederhanaan
(v) Ketinggian Peribadi
(vi) Kekuatan Sifat Baik Hati
(vii) Pengaruh Teladan
(viii) Kewajipan Menjalankan Tugas
(ix) Kebijaksanaan Berhemat
(x) Keutamaan Kesabaran
(xi) Peningkatan Bakat
(xii) Nikmat Mencipta

ANALISIS DAN TAFSIRAN

1 MENGHARGAI MASA
Masa tidak ternilai harganya dan datangnya sekali sahaja seumur hidup. Maksudnya, apabila hilang, tidak akan ada gantinya lagi. Dengan demikian, masa yang berIalu secara yang tidak berfaedah merupakan modal yang telah lesap.
Banyak petikan yang boleh diberi untuk menggambarkan nilai masa. al‑Quran (al‑Asr 103: 1‑3) memperingati manusia tentang masa. Dalam semua budaya juga terdapat kata‑kata hikmah yang menyentuh keperihalan mahalnya masa, contohnya 'time and tide wail for no man ". Peribahasa kita sendiri mengatakan “masa itu emas"!
Di tempat kerja ada beberapa amalan positif untuk tidak membazirkan masa. Misalnya, apabila membuat sesuatu kerja, "Do it right the first time", supaya tidak perlu diulang sekali lagi. Perbincangan kerja yang teliti juga akan menjamin kerja berjalan lancar dan masa dijimatkan. Oleh yang demikian, antara nilai yang diutamakan dalam menghargai masa ialah:
· Segerakan tindakan;
· Tepati masa;
· Rancang masa dan tugas; dan
· Menyelesaikan tugas pada masa yang tetapkan).
Amalan-amalan negatif pula akan mengakibatkan pembaziran masa. Misalnya mencuri tulang semasa bertugas atau berbual‑bual kosong.




2 KETEKUNAN MEMBAWA KEJAYAAN
Ketekunan membawa gambaran kesungguhan dan kesabaran. Orang yang tekun tidak menerima kekalahan. Genggam bara api biar jadi arang, kata orang tua‑tua. Orang Islam pula sedia maklum bahawa Allah sentiasa bersama dengan mereka yang sabar (al‑Baqarah 2:153).
Kakitangan yang tekun bersifat dedikasi dan berdisiplin. Orang yang berdisiplin, bekerja apabila diperlukan bekerja, manakala mereka yang tidak berdisiplin pula tidak bekerja atau curi tulang semasa mereka sepatutnya bekerja. Ketabahan diperlukan apabila berhadapan dengan masalah, besar atau kecil. Setiap halangan adalah cabaran dan bukannya pematah semangat.
Dalam usaha melaksanakan inovasi, ketekunan juga diperlukan. Sikap hangal‑hangat tahi ayam " tidak boleh dijadikan model, sebaliknya contohi semangat "kaizen" (lakukan sesuatu secara berterusan dan berkesinambungan),seperti yang diamalkan dalam budaya kerja Jepun. Secara ringkasnya, nilai-nilai yang perlu dipupuk untuk memastikan kejayaan antaranya ialah:(i)Bersemangat gigih dan tekun;(ii)Berdisiplin,(iii)Dedikasi,(iv)Cekal,(v)Berpandangan jauh,(vi)Inovatif dan kreatif.

3 KESERONOKAN BEKERJA
Kerja jika dianggap ibadat, tidak akan menjadi chore yang membeban dan membosankan. Peneriman hakikat ini akan mendatangkan kepuasan kerja, dan semangat untuk terus-menerus menjalankan tugas. Manusia yang seronok bekerja bersifat proaktif (Covey, 1990: 66-44).
Bagi seorang ketua pula, minat dan pengharapan yang ditunjukkan kepada usaha‑usaha pekerjanya akan menjadi punca motivasi. Antara nilai‑nilai yang perlu dititik beratkan dalam. mewujudkan keseronokan bekerja ialah:
(i) Kerja adalah ibadah(i i) Menghasilkan sesuatu yang berfaedah;(iii) Komitmen terhadap kerja(iv)Sedia bekerjasama.

4 KEMULIAAN KESEDERHANAAN
Satu sifat terpuji ialah bersederhana dalam semua perkara; tidak keterlaluan, memilih jalan pertengahan antara dua extremes. Orang Islam telah diperingatkan bahawa sebaik‑baik pekerjaan itu yang sederhana. Kesederhanaan akan menjamin tidak berlakunya pemborosan. Antara sifat yang patut diamalkan ialah:
(i)Sederhana dalam semua aspek kehidupan;(ii)Tidak membazir,(iii)Adil dalam tindakan;(iv) Bersikap terbuka(v) Berjimat cermat.
Mereka yang bersikap keterlaluan dalam urusan, antara lainnya, suka menunjuk-nunjuk. Kerapkali pula mereka ini terdiri daripada golongan munafik yang suka berpura‑pura.

5 KETINGGIAN PERIBADI
Ketinggian peribadi mencerminkan harga diri seseorang. Antara petunjuk adalah tutur‑kata yang sopan dan tingkah laku yang menyenangkan mata memandang. Keikhlasannya juga nyata, bukan dibuat‑buat. Sekalipun dia menduduki tempat sebagai ketua dalam sesuatu organisasi, dia tidak angkuh; boleh menegur dan ditegur. Maruah orang bawahannya sentiasa dipelihara. Oleh itu antara sifat ketinggian peribadi seseorang ialah:
(i)Bersopan santun(ii)Amanah(iii) Saling hormat‑menghormati(iv)Sedia membantu.sebaliknya, kerendahan peribadi dapat diukur, antara lainnya, daripada perbuatan suka mencari kesalahan orang lain, tidak amanah, menyalahgunakan kedudukan dan tidak ikhlas dalam segala tindak‑tanduknya.

6 KEKUATAN SIFAT BAIK HATI
Tersangat banyak sifat terpuji pada diri oang yang menghayati nilai ini. Sebagai ketua dia kaya dengan sifat perikemanusiaan, simpati suka menolong orang bawahannya, sedia memberi tunjuk-ajar dan adil dalam keputusannya. Salahuddin AI‑Ayubi dikatakan dihormati oleh pengikut-pengikutnya dan dikagumi oleh musuh‑musuhnya. Pernah dia menangguh serangan ke atas sebuah kubu orang Kristian, kerana seorang knight sedang melangsungkan upacara perkahwinannya pada ketika itu. Antara sifat baik hati yang perlu dipraktikkan ialah:
(i) Adil(i i)Sedia menerima teguran(iii) Bertimbang rasa(iv) Prihatin terhadap kebajikan.

7 PENGARUH TELADAN
Satu sifat yang dicela pada diri seorang ketua ialah dia yang berkata, "buat seperti apa yang aku kata, bukan seperti apa yang aku buat". Ini sama saja seperli ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dalam banyak kes pula, teladan buruk apabila ditiru, ditiru dengan terlebih buruk lagi!
Kerajaan kita pada hari ini berpandu kepada prinsip kepimpinan melalui teladan. Lebih mudah mengajar melalui teladan yang baik daripada semata‑mata memberi arahan. Oleh iti sifat‑sifat yang perlu diamalkan ialah:(i) Berkelakuan baik(ii)Amanah(iii) Telus dalam prosedur(iv)Bermoral tinggi.

8 KEWAJIPAN MENJALANKAN TUGAS
Apabila seseorang telah menerima sesuatu tugas, maka wajiblah baginya menyempurnakan tugas tersebut. Dalam menjalankan tugas pula sikap yang tepat ialah beriltizam menyempurnakannya dengan penuh tanggungjawab,bukan sekadar memenuhi syarat saja.
Dalarm Islam, mengelak daripada menjalankan tugas bermakna lari daripada tanggungjawab. Hukumnya. berdosa. Ada orang yang "mencuri " waktu pejabat, berniaga secara sambilan, seperti menjadi pengedar barangan solek dan pinggan‑mangkuk. Pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan waklu "curi" ini adalah haram. Dalam hal menjalankan tugas ini, kecekapan dan ke profesionalisme adalah menjadi kayu ukur yang dikehendaki. Oleh yang demikian antara sifal yang perlu diamalkan ialah:
(i) Bertanggungjawab(ii) Tekun dan sabar(iii) Mengutamakan kerja(iv) Peningkatan kualiti

9 KEBIJAKSANAAN BERHEMAT
Berhemat ertinya berjimat‑cermat, tidak boros. Boros atau pembaziran adalah dikutuk, dikatakan sahabat syaitan. Dalam kajian yang dibuat di Amerika tentang mereka yang mantap kedudukan kewangannya, satu faklor yang sentiasa terdapat pada setiap mereka ini adalah berhemat dalam perbelanjaan mereka, yakni tidak penah melebihi pendapatan.
Di tempat kerja, amalan berhemat dapat dipraktikkan dalam pelbagai situasi Misalnya dalam penggunaan alat tulis, dan elektrik. Kertas yang telah dipakai pada sebelah halaman boleh digunakan sebagai scratch paper; lampu bilik air ditutup selepas digunakan; kipas dan hawa dingin elok ditutup semasa waktu rehat. Oleh yang demikian antara sifat yang perlu dipupuk bagi menjayakan usaha berhemat ialah:
(i) Tidak membazirkan harta kerajaan (ii) Bertanggungjawab terhadap harta kerajaan(iii)Menggunakan harta kerajaan mengikut keperluan.

10 KEUTAMAAN KESABARAN
Kesabaran mempunyai kaitan dengan ketekunan. Orang yang sabar dapat menerima kegagalan sebagai cabaran untuk terus berjuang. Dalam Islam, kesabaran adalah sifat terpuji. Lumrah diketahui bahawa tidak ada kemenangan atau kejayaan tanpa kesabaran. Dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W., penentangan daripada pembesar‑pembesar Quraisy tidak mematahkan semangat perjuangan beliau. Berkat kesabaran, akhirnya Islam diterima dan berkembang. Demikian juga, jika kita mengkaji sejarah reka cipta, Edison, Bell, Marconi, Baird dan lain‑lain pereka cipta berjaya lantaran kesabaran.
Pemimpin yang sabar akan mewujudkan pentadbiran yang inovatif, kreatif dan dinamik. Dia tidak takut mencuba dan tidak jemu mencari alternatif‑altematif. Dalam hubungan interpersonal pula, kesabaran adalah satu aset, terutama dalam menghadapi kerenah orang lain, Oleh itu kesabaran dalam mengusahakan sesuatu pekerjaan amat penting dengan mengambil kira pemupukankan sifat-­sifat berikut:
i)Sedia menghadapi tekanan masa dan ruang(ii)Tidak mudah putus asa(iii)Sedia menyabut cabaran.

11 PENINGKATAN BAKAT
Bakat sebenarnya adalah manifestasi kecerdikan, mengikut teori muhiple inleffigences. Orang yang berbakat dalam sesuatu lapangan akan dapat menghasilkan kerja yang bermutu. Muzik ciptaan P. Ramlee hidup segar hingga ke hari ini kerana muziknya itu adalah cetusan bakatnya.
Bakat jika tidak dipupuk dan di pertingkatkan menjadi sia‑sia. Sebaliknya, jika dipertingkatkan, individu itu sendiri dan organisasinya juga akan turut menerima. faedahnya. Di bawah konsep Persyarikatan Malaysia, negara juga akan turut mendapat keuntungan daripada peningkatan bakat individu‑individu; kejayaan sektor swasta akan mempengaruhi juga sektor awam.
Ketua jabatan wajar mengenal pasti orang bawahannya yang berbakat serta menggalakkan bakat tersebut dipertingkatkan. Idea‑idea baru janganlah disekat, lantaran hasad dengki, tetapi hendaklah digalakkan untuk dikembangkan. Dalam ucapan YAB Dato' Seri Dr. Mahathir sempena perasmian Kompleks Jabatan Perkhidmatan Awam, beliau menegaskan tentang perlunya "menajarnkan bakat yang sedia ada pada seseorang".

12 NIKMAT MENCIPTA
Bahan utama yang diperlukan untuk mencipta ialah kreativiti. Idea‑idea lateral seperti dipelopori dan dikembangkan oleh Edward de Bono (Edward de Bono, 1990 dan 1996) dapat membantu mencipta sesuatu. Di jabatan-jabatan kerajaan banyak tradisi kerja yang boleh digantikan dengan yang baru. Misalnya, tradisi pegawai atasan mengelak daripada berjumpa dengan pelanggan.
Dalam perbankan, biasanya pelanggan datang ke bank untuk menyelesaikan urusan, misaInya pinjaman. Tetapi, hari ini ada bank yang menghantarkan pegawainya untuk mendapalkan tanda tangan peminjam yang sedang menunggu penerbangan di lapangan terbang.
Banyak idea yang pada mulanya nampak janggal atau "gila‑gila", akhirnya diterima dengan baik, misalnya konsep "sekolah dalam taman". Idea menerbitkan kereta nasional kita pada masa mula‑mula dicadangkan dahulu telah mentertawakan sesetengah pihak. Tetapi, kini nyatalah idea itu sesuatu yang hebat.


Sumber : Nota kursus PTK