Selasa, 11 November 2008

Hakikat Jati Diri Dalam Pembinaan Ummah Hadhari

Arus deras materialisme, liberalisme, sekularisme dan hedonisme yang melanda umat Islam hari ini nampaknya telah menenggelamkan nilai-nilai makruf, akhlak mulia dan jati diri sebagai seorang Muslim. Inilah agaknya harga yang terpaksa kita bayar atas kealpaan kita menerima semahu-mahunya segala bentuk budaya, pemikiran dan hiburan yang saban hari disogokkan kepada kita.

Pemikir Islam ulung, Malik Bennabi (m.1973M) dalam bukunya Shurut al-Nahdhah (Syarat-syarat Kebangkitan) mengingatkan kita bahawa Barat dan musuh-musuh Islam tidak akan berasa bangga hanya kerana umat Islam memakai pakaian mereka; kot, tali leher, skirt, blaus atau denim (jeans).

Barat tidak akan berpuas hati jika umat Islam hanya fasih bertutur bahasa ibunda mereka. Tetapi Barat lebih bangga dan gembira jika umat Islam meninggalkan cara hidup Islam dan mengikuti budaya serta mengamalkan cara hidup mereka. Kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung kepada keupayaan fizikal dan kelengkapan material. Kekuatan hakiki umat Islam terbina daripada gabungan antara kemampuan fizikal dan kemantapan rohani. Sebagaimana kekuatan sebenar manusia yang terbina dari fizikal (jasad) dan spiritual (roh). Meskipun tubuh badan seseorang itu berdada bidang, berotot besar, kuat dan bertenaga seperti ahli gusti, tetapi apalah gunanya jika jasad yang kuat, bertenaga dan berotot itu tidak bernyawa (tiada roh)? Tentu jasad tersebut terdampar kaku (mati) dan hilang segala kehebatannya. Di sinilah yang ingin dijelaskan bahawa kesepaduan dan keseimbangan antara kehebatan jasmani dan rohani akan meninggikan nilai martabat dan harga diri seseorang itu.

Potensi dan kualiti insan dapat dikembangkan apabila kita sendiri mengenali asal usul penciptaan manusia dan elemen atau unsur yang membentuk makhluk yang bernama insan itu. Jika kita meminjam sudut pandangan al-Quran dalam usaha mengenali hakikat sebenar diri manusia, maka kita dikhabarkan dengan kenyataan melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, ditiupkan ke dalamnya roh (ciptaan)Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud." (Surah al-Hijr: 28-29) Firman-Nya lagi di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Dia yang mencipta manusia daripada tanah. Kemudian Dia yang menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalam tubuhnya roh ciptaan-Nya." (Surah al-Sajdah: 7-9) Berdasarkan kenyataan ayat-ayat al-Quran di atas, kita dapat memahami bahawa makhluk manusia itu dicipta oleh Allah Taala daripada dua unsur yang berbeza.

Pertama, pada satu peringkat manusia dicipta daripada sesuatu yang bersifat material (tanah), sama ada secara langsung daripada tanah sebagaimana yang terjadi kepada Nabi Adam a.s., atau diciptakan manusia itu daripada air mani sepertimana yang berlaku kepada keturunan Nabi Adam a.s. Aspek inilah yang kemudiannya diistilahkan sebagai tubuh badan, jasad atau jasmani.

Unsur kedua yang membentuk kejadian manusia bersifat non-material yang disebut sebagai roh atau disebut juga spiritual, jiwa atau rohani yang didatangkan langsung daripada Allah Taala. Kesepaduan daripada kedua-dua aspek material (tubuh badan) dan non-material (roh) inilah yang mewujudkan makhluk yang dipanggil manusia.

Imam al-Ghazzali (m. 505H/1111M) memperincikan persoalan non-material ini di dalam kitabnya Ihya' 'Ulumuddin bahawa aspek roh di dalam diri manusia itu terangkum sekaligus di dalam istilah-istilah yang bukan hanya tertumpu kepada istilah roh itu sendiri sahaja, tetapi juga al-qalb (kalbu), al-nafs (jiwa) dan al-'aql (akal fikiran). Al-Ghazzali menggunakan keempat-empat istilah ini iaitu roh, kalbu, jiwa dan akal seolah-olah boleh ditukar ganti antara satu sama lain, di mana keempat-empatnya merujuk kepada apa yang diungkapkan oleh al-Ghazzali sebagai bersifat "latifah rabbaniyyah ruhaniyyah", yang terdapat di dalam diri manusia dan merupakan jati diri, intipati atau hakikat sejati diri manusia.

Menurut al-Ghazzali lagi, aspek kerohanian yang istimewa inilah yang menyebabkan manusia ditaklifkan sebagai khalifah untuk melaksanakan syariat Allah di atas muka bumi ini. Pada prinsipnya, unsur non-material yang menghidupkan jasad manusia itu, di samping merupakan hakikat jati diri hakiki manusia, adalah juga berfungsi memberikan ciri kehebatan serta keunggulan manusia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain sama ada malaikat, jin, syaitan, tumbuh-tumbuhan atau binatang.

Dalam hubungan ini, ada baiknya diketengahkan di sini kisah simbolis yang terdapat dalam Sastera Arab-Islam yang memaparkan cerita tentang manusia dibawa ke hadapan mahkamah pengadilan oleh para haiwan. Haiwan-haiwan ini tidak rela lagi manusia memperalatkan dan mengeksploitasi mereka untuk dijadikan alat tunggangan, membajak sawah ladang, diburu dan diternak untuk dijadikan bahan makanan ataupun mengambil bulu mereka untuk dibuat pakaian.

Pada pandangan para haiwan tersebut, manusia tidak mempunyai apa-apa alasan yang wajar untuk diberikan keistimewaan sedemikian. Apabila manusia mengemukakan alasan-alasan serta hujah untuk membuktikan kelebihan-kelebihan mereka berbanding dengan haiwan, maka semua alasan dan hujah tersebut dipatahkan dengan mudahnya oleh para haiwan, baik alasan itu yang berhubung dengan keupayaan manusia terbang di udara, berenang atau menyelam di dalam air, daya tenaga, kekuatan dan kegagahan manusia mengangkat beban berat dan sebagainya.

Semua kebolehan itu dimiliki juga oleh haiwan, malah memang pada asalnya lagi mereka dijadikan dengan memiliki kebolehan-kebolehan tersebut. Apabila manusia mendapati dirinya sudah tidak mempunyai apa-apa alasan lagi, lalu dia teringat kepada keupayaan serta potensi akalnya yang sangat hebat dan tinggi tarafnya. Tatkala manusia menyuarakan potensi akal fikiran sebagai hujah, maka para haiwan tiada lagi alasan untuk menentang dan menolak ketuanan manusia ke atas mereka (haiwan). Kisah simbolis di atas memperlihatkan keunggulan makhluk manusia berbanding haiwan adalah difokuskan kepada aspek non-material yang dimiliki oleh manusia iaitu akal fikiran atau minda.

Sememangnya kalau dilihat dari aspek material (fizikal) dirinya, manusia tidak ada apa-apa keistimewaan, malahan amat lemah sekali. Kita lihat jika kuda melahirkan anak, maka dalam masa dua atau tiga hari sahaja anak kuda tersebut boleh berdiri, kemudian berjalan dan seterusnya berlari. Hanya dalam masa beberapa hari. Hal keadaan ini berbeza dengan anak manusia (bayi) yang mengambil masa berbulan-bulan malah sehingga setahun untuk berjalan dengan baik.

Gambarkan pula sekiranya manusia disengat tebuan, dia sudah tidak boleh melelapkan mata. Kemudian kalau dilihat pula keindahan diri luarannya, maka keindahan itu hanya setakat kulitnya yang luar sahaja, sedangkan di bawah kulit itu adalah amat jelek sekali. Badan itu pula kalau tidak selalu dibersihkan akan mengeluarkan bau yang busuk dan amat tidak menyenangkan. Justeru, berdasarkan huraian-huraian tersebut ternyatalah bahawa kehebatan dan keunggulan manusia itu adalah tertumpu kepada aspek non-material yang dikenali sebagai rohani atau spiritual.

Aspek rohani inilah sebenarnya yang menjana diri manusia menjadi cemerlang dan hebat meskipun tubuh badan mereka cacat seperti buta, pekak, bisu, tiada kaki atau tangan dan sebagainya.

Oleh sebab itu, janganlah kita pelik apabila melihat orang yang cacat tetapi mencapai keputusan yang paling cemerlang dalam sesuatu peperiksaan atau mampu melakukan perkara yang luar biasa. Ini kerana mereka digerakkan oleh tenaga jati diri (rohani) mereka yang tidak cacat walaupun anggota badan mereka cacat. Memetik tulisan Dr. Muhammad al-Bahi (Islam Dilitupi Awan Mendung, 1979: 16-17), beliau menyatakan bahawa "kerohanian adalah intisari manusia dan ciri-ciri peribadinya". Kerohanian bukan sesuatu yang ditampal pada diri manusia atau yang terasing bagi manusia, kerana apabila kerohanian itu menjadi intisari manusia, maka kerohanian merupakan pusat hidup manusia dan pusat segala kegiatannya.

Justeru itu, dalam konteks ini wajarlah difahami secara tepat bahawa aspek material atau jasad (fizikal) manusia itu dijadikan hanya sebagai tunggangan kepada roh, bermaksud bahawa tubuh badan itu dijadikan untuk kepentingan roh dan bukan sebaliknya. Apabila persoalan jati diri ini dikaitkan dengan umat Islam, maka perlu kita sedari, tanpa kekuatan rohani yang ampuh umat Islam hanya maju dengan bangunan-bangunan tinggi atau binaan-binaan yang gah dan hebat tetapi hakikatnya didiami oleh insan-insan yang mati hati, muflis akhlak, bankrap jiwa serta pudar nilai keinsanannya.

Umat Islam perlu segera menyedari bahawa keutuhan rohani dan keunggulan jati diri sebagai Muslim hakiki yang diintegrasikan dengan kekuatan fizikal akan berpotensi menjana ummah hadhari yang berkualiti, dirahmati dan dihormati.

sumber: http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=1323