Selasa, 11 November 2008

Pelan Integriti Nasional (PIN)

Pelan Integriti Nasional (PIN) dilaksanakan secara berperingkat dan tempoh 2004-2008 merupakan fasa pertama pelaksanaannya. Dalam tempoh ini, pelbagai program dan aktiviti yang dicadangkan dalam Strategi dan Pelan Tindakan PIN akan dilaksanakan. Melalui pelaksanaan, pemantauan dan penilaian ke atas keberkesanan pelbagai program dan aktiviti itu, Kerajaan menjangkakan beberapa sasaran penting yang digariskan oleh PIN akan tercapai.

Skop dan konsep yang dibawa oleh PIN kelihatannya lebih menyeluruh dan holistik dalam memberi panduan kepada setiap komponen masyarakat untuk membudayakan integriti.

PIN yang dilancarkan pada 23 April 2004, oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, adalah selaras dengan cabaran ke empat Wawasan 2020 iaitu untuk “Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para harganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.


Objektif khusus PIN adalah;

o Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika;

o Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang;

o Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti;

o Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan

o Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.

Untuk melaksanakan PIN, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah ditubuhkan dengan peranan utamanya untuk mengkoordinasikan dan memantau pelaksanaan PIN.
IIM telah didaftarkan sebagai sebuah badan bebas berstatus syarikat jaminan kerajaan dibawah Akta Syarikat 1965 pada 4 Mac 2005. Penubuhan IIM ini telah diumumkan kepada masyarakat pada 23 April 2004 bersempena dengan pelancaran PIN.
IIM dikawal oleh sebuah Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan dianggotai oleh beberapa orang tokoh yang berwibawa dalam bidang masing-masing.

Gerakan pemantapan integriti semua lapisan masyarakat berdasarkan PIN dan dikoordinasikan pelaksanaannya oleh IIM diharapkan akan menjadi inspirasi dan kekuatan bagi membina Malaysia yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.


Faktor yang menyumbang kejayaan sasaran PIN.

Pencapaian pelbagai objektif Strategi dan Pelan Tindakan PIN bergantung kepada dinamika dan daya tahan gerakan pemantapan integriti serta keupayaannya meresap ke akar umbi sehingga menjadi gerakan rakyat. Antara faktor yang menyumbang kejayaan sasaran Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah :


1. Kepimpinan berteladan

2. Pendidikan berterusan dan berulang

3. Komunikasi berkesan

4. Persekitaran budaya yang kondusif

5. Kesediaan individu untuk berubah



Kepimpinan Berteladan

Kepimpinan adalah antara faktor penentu terpenting bagi kejayaan PIN. Kepimpinan sedemikian mempunyai iltizam politik yang teguh, berwawasan, menetapkan sasaran yang jelas, berpegang pada prinsip bersih, cekap dan amanah, menunjukkan teladan yang baik, berhemah serta mesra rakyat. Kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri ini dapat memberikan inspirasi kepada rakyat, sekaligus menggembleng kekuatan mereka untuk mencapai matlamat PIN.


Pendidikan berterusan dan berulang

Pencapaian sasaran PIN juga amat bergantung kepada pendidikan nilai­nilai murni secara berterusan dan berulang di kalangan pelbagai sektor dan lapisan masyarakat. Melalui cara ini nilai-nilai tersebut beransur­ansur dapat dihayati dan dilaksanakan sehingga menjadi sebahagian daripada kebiasaan hidup. Dengan demikian ia akhirnya menjadi budaya individu dan masyarakat.


Komunikasi Berkesan

Salah satu faktor yang boleh menyebabkan kegagalan mana-mana perancangan perubahan termasuk PIN ialah kegagalan berkomunikasi. Oleh itu, komunikasi yang berkesan, jelas, terfokus, dan mudah difahami amat penting.


Persekitaran Budaya yang Kondusif

Persekitaran yang kondusif bermaksud adanya suatu budaya di mana rakyat di merata tempat berminat mengenai etika dan integriti serta mengamalkannya. Minat dan pengamalan ini akan terus berkembang apabila pemimpin menepati janjinya.
Penguatkuasaan terhadap gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa pula semakin berkesan dan tidak dilakukan secara 'rnemilih bulu'. Perkernbangan ini akan lebih terdorong lagi apabila tedapat penyelesaiaan terhadap kes-kes yang menarik perhatian umum.

Kesediaan individu untuk Berubah

Dari segi pembinaan insan, peranan individu sangat penting. Pemahaman, kesedaran dan pengetahuan individu mengenai nilai-nilai murni, yang dipupuk melalui pendidikan dan komunikasi berkesan akan menyumbang kepada gerakan pemantapan integriti. Keinsafan mereka tentang perlunya kelemahan diri diatasi akan meningkatkan komitmen mereka untuk berubah. Dengan cara itu, individu berkenaan akan lebih komited kepada usaha meningkatkan amalan beretika, sekaligus integriti.

Kesimpulan

Gerakan pemantapan integriti ialah suatu gagasan yang semakin menawan imaginasi pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Gerakan ini sedang menjadi suatu kekuatan masyarakat bagi mengurus kejayaan dan menangani kelemahan dengan berkesan. Pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) menjadi pendorong terbesar ke arah pencapaian matlamat gerakan pemantapan integriti. Kesemua ini membolehkan Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan mencapai cita-cita menjadi sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri, serta membinanya menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.


Sumber : Nota kursus PTK